<

Laman Web Rasmi Majlis Daerah Samarahan


Perutusan Setiausaha

 

Salam Sejahtera.
Kepada semua pengguna yang melayari laman Web Majlis Daerah Samarahan, saya mengucapkan selamat melayari Laman Web Majlis dan semoga pihak pengguna  memperolehi maklumat yang dihajati dan berguna serta berinformatif kepada anda.

Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kerana disebabkan sokongan dankerjasama pihak Kerajaan Negeri Sarawak serta pihak Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam, Kuching maka Majlis Daerah Samarahan telah dapat membangunkan Laman Webnya sendiri. Hasrat Kerajaan Negeri Sarawak yang ingin melihat semua PBT dapat membangunkan laman Web masing-masing bagi memudahkan komunikasi antara masyarakat dengan Majlis dan juga antara agensi-agensi Kerajaan, pihak Swasta serta pihak lain di dunia tanpa sempadan ini sudah menjadi kenyataan. Secara globalisasinya, kita sudah boleh berkomunikasi dengan mudah dan efektif.

Melalui Laman Web Majlis ini, para pengguna akan dapat mengetahui fungsi serta peranan Majlis Daerah Samarahan serta tanggungjawabnya secara umum yang perlu dilaksanakan oleh pihak Majlis kepada masyarakat yang tinggal di kawasan-kawasan di bawah tadbirannya. Para pengguna juga akan dapat mengetahui visi dan misi serta objektif  Majlis serta maklumat-maklumat lainnya dengan lebih jelas dan cepat.

Bagi makluman, pihak Majlis memberi perkhidmatan di dalam pelbagai aspek. Pihak Majlis merancang aktiviti-aktiviti ataupun program pembangunan untuk masyarakat, membina dan menyelenggarakan jalanraya, perparitan/longkang, pengutipan sampah-sarap dan pengurusan sisa-sisa pepejal, pengindahan bandar, kawasan-kawasan perkampungan, taman-taman perumahan dan lain-lainnya. Di samping itu, pihak Majlis juga membina dan menyenggara tempat-tempat rekreasi serta kemudahan infrastruktur yang lain agar masyarakat di kawasan-kawasan Majlis dapat menikmati kehidupan yang baik dan selesa sejajar dengan slogan majlis iaitu "Beautiful, Clean & Green".

Pihak Majlis juga menyediakan tempat-tempat serta ruang-ruang niaga seperti market-market, gerai-gerai, dan lain-lainnya bagi memberi peluang kepada masyarakat yang ingin menceburi bidang perniagaan. Selain itu, banyak lagi aktiviti dan juga perkhidmatan lain yang telah dilaksanakan oleh pihak Majlis untuk masyarakatnya.

Pihak Majlis sedar tentang perubahan yang rancak berlaku secara global dan perubahan dalam era baru ICT ini mendesak kita untuk lebih peka dan prihatin kepada kehendak masyarakat dan pelanggan dalam dunia yang lebih luas, yang tiada sempadan untuk ditentukan.

Di dalam perancangan strategik Bahagian Samarahan, salah satu agenda pembangunannya ialah keperluan untuk menaiktarafkan status Majlis Daerah Samarahan kepada Majlis Perbandaran. Pihak Majlis diperlukan untuk mengambil pelan tindakan agresif bagi mencapai status tersebut dan melaksanakan pelan tersebut untuk memenuhi keperluan status perbandaran yang dikehendaki dalam beberapa tahun yang akan datang.

Sama-samalah kita membangunkan dan mengindahkan kawasan persekitaran masing-masing dengan menjaga kebersihannya agar kita dapat hidup di dalam suasana sihat dan sejahtera buat selama-lamanya.
Bagi pengguna yang sedang melayari Laman Web ini, saya berharap anda akan berpuas hati dan memperolehi apa-apa maklumat yang dihajati. Sekiranya ada kekurangan dalam Laman Web ini pihak Majlis memohon maaf dan sedia menerima pandangan dan cadangan daripada  pihak anda untuk memperbaikinya.

Sekian. Terima kasih.
"BERSATU BERUSAHA BERBAKTI"
"An Honour To Serve"

 

Encik Simon Wong Hong Yong
Setiausaha,
Majlis Daerah Samarahan.